“Dia Datang Tengok Pusat Tahfiz Beberapa Jam Selepas Terbakar” DEDAH Seorang Pelajar Tahfiz Itu .

| September 18, 2017 | 0 Comments

“Dia Datang Tengok Pusat Tahfiz Beberapa Jam Selepas Terbakar” DEDAH Seorang Pelajar Tahfiz Itu . | MALAYSIA TULAR – KUALA LUMPUR: Seorang daripada suspek yang dipercayai mendalangi kebakaran hingga mengorbankan 23 nyawa penghuni Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah, dekat Jalan Keramat Hujung, di sini, dikatakan kembali ke lokasi beberapa jam selepas kejadian.

Suspek berusia 15 tahun itu dikatakan ke lokasi untuk melihat kesan akibat perbuatan mereka.

Dia juga dikatakan berbual dengan seorang pelajar tahfiz berkenaan dan berpura-pura tidak mengetahui apa yang berlaku.

Pelajar tahfiz terbabit ketika ditemui mengakui tidak mengesyaki apa-apa kerana suspek terbabit memberi reaksi seperti orang ramai yang datang menyaksikan kejadian, tertanya-mengenai apa yang sedang berlaku.

“Saya terjumpa dia (suspek) jam 8 pagi hari kejadian.

“Dia datang dekat saya dan tanya macam mana boleh jadi macam ni. Masa tu saya tidak syak apa-apa sampailah dapat tahu dia salah seorang yang ditahan polis,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Pelajar berkenaan bersyukur kerana terselamat kerana kebetulan pulang ke rumah keluarganya malam sebelum kejadian.

“Saya sedang tidur sebelum dikejutkan oleh ibu yang memaklumkan pusat tahfiz terbakar.

“Saya ingat ibu bergurau tetapi sebaik mengetahui kejadian itu, saya dan bapa terus ke lokasi.

“Sebaik tiba, saya dapati pusat tahfiz sudah musnah. Saya tak sangka akan kehilangan ramai kawan dan ustaz (warden),” katanya.

Dalam kejadian jam 5.15 pagi 15 September lalu, 23 penghuni Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah terkorban selepas tingkat tiga premis itu yang menempatkan asrama terbakar.

Kelmarin, Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Amar Singh Ishar Singh berkata, tujuh suspek berusia 11 hingga 18 tahun ditahan kerana dipercayai mendalangi kebakaran.

Hasil siasatan turut membongkar motif kejadian adalah untuk membalas dendam.

Semua suspek direman sehingga 22 September ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh dan Seksyen 435 kanun sama kerana melakukan khianat dengan api.

Kredit : Berita Harian

PALING POPULAR BULAN INI .. JOM BACA !!

Tags: , , , ,

Category: INFORMASI

About the Author ()

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *