Polis Bawa 7 Suspek Ke Pusat Tahfiz.

| September 25, 2017 | 0 Comments

Polis Bawa 7 Suspek Ke Pusat Tahfiz. | MALAYSIA TULAR KUALA LUMPUR: Polis mengesahkan membawa tujuh suspek kes kebakaran pusat tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah ke lokasi kejadian, hari ini.

Perkara itu disahkan Ketua Jabatan Siasatan Jenayag Kuala Lumpur, Senior Asisten Komisioner Rusdi Mohd Isa.

Beliau berkata, semua suspek itu dibawa untuk meninjau semula lokasi kejadian dan kawasan sekitar.

“Kita bawa tujuh suspek. Kita tunggu keputusan Peguam Negara untuk tindakan selanjutnya,” katanya ringkas ketika ditemui, di sini, sebentar tadi.

Beliau berkata, semua suspek itu dibawa semula ke lokasi bagi membantu siasatan.

Katanya, pihak Peguam Negara masih mengkaji kertas siasatan dan polis menunggu arahan seterusnya.

Beliau sebelum itu hadir di lokasi pada jam 4.25 petang dan dilihat memasuki kawasan pusat tahfiz berkenaan diiringi beberapa orang anggota polis.

Pada jam 2.40 petang tadi, suspek kes itu dibawa menaiki tiga kenderaan pacuan empat roda ke lokasi.

Suspek yang memakai penutup muka dibawa oleh pegawai dan anggota polis itu kemudian dibawa ke arah Taman Tasik Datuk Keramat sebelum menuju ke bahagian belakang pusat tahfiz, dipercayai untuk menunjukkan kepada polis mengenai keadaan yang berlaku pada hari kejadian.

Ketiga-tiga kenderaan membawa suspek itu dilihat meninggalkan lokasi pada jam 4.45 petang.

Terdahulu, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Wan Ahmad Najmuddin Mohd, berkata kertas siasatan kes itu sudah dihantar kepada Pejabat Peguam Negara, pagi tadi, untuk tindakan selanjutnya.

Beliau berkata, polis membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, yang dibaca bersama Seksyen 435 Kanun Keseksaan kerana khianat dengan api.

Beliau berkata, pihaknya kini sedang menunggu makluman balas daripada Pejabat Peguam Negara, yang menentukan bentuk tindakan yang bakal dikenakan terhadap ketujuh-tujuh suspek terbabit.

Sumber : Berita Harian

PALING POPULAR BULAN INI .. JOM BACA !!

Tags: , , , , , ,

Category: Kisah Viral

About the Author ()

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *