10 Negara Paling Bahagia Di Asia 2025. | MALAYSIA TULAR : Kebahagiaan sesebuah negara bukan hanya bergantung pada wang ringgit atau jangka hayat yang panjang. World Happiness Report 2025 mendedahkan bahawa faktor bukan ekonomi sebenarnya memainkan peranan lebih besar dalam menentukan tahap bahagia rakyat.
Antara perkara yang diberi perhatian ialah tabiat makan bersama keluarga, rasa kebersamaan dengan orang sekeliling, serta sifat pemurah dalam masyarakat. Kajian menunjukkan, aspek-aspek ini memberi kesan mendalam terhadap kesejahteraan hidup berbanding sekadar faktor material.
Untuk info, kajian ini dijalankan oleh Universiti Oxford, Gallup dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), melibatkan lebih 100,000 responden di seluruh dunia.
Enam faktor utama telah menjadi asas penilaian. Antaranya:
- Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) per kapita
- Jangka hayat sihat
- Sokongan sosial
- Kebebasan individu
- Kemurahan hati
- Tahap rasuah
- Faktor bahagia
Menariknya, laporan turut mendedahkan trend yang agak membimbangkan. Perbuatan kebaikan seperti menderma, menjadi sukarelawan dan menolong orang asing dilaporkan semakin menurun di kebanyakan kawasan dunia antara 2023 hingga 2024.
Namun begitu, ada sinar harapan di rantau kita. Asia Selatan dan Asia Tenggara masih mengekalkan tahap kemurahan hati yang stabil. Perkembangan ini dianggap positif kerana kajian menunjukkan bahawa sifat pemurah dan sikap ringan tulang untuk membantu orang lain mempunyai kaitan rapat dengan tahap kebahagiaan individu.
Sebaliknya, satu lagi tabiat penting iaitu makan bersama semakin berkurangan di Asia. Di negara maju seperti Jepun dan Korea Selatan, semakin ramai rakyat yang memilih untuk makan seorang diri.
Kedengaran remeh, tetapi hasil kajian mendapati semakin kerap seseorang berkongsi hidangan bersama keluarga atau rakan, semakin tinggi rasa bahagia yang dirasai. Justeru, berikut senarai 10 negara paling bahagia di Asia mengikut laporan tersebut:
1. Taiwan – No. 27 dunia
2. Singapura – No. 34 dunia
3. Kazakhstan – No. 43 dunia
4. Vietnam – No. 46 dunia
5. Thailand – No. 49 dunia
6. Jepun – No. 55 dunia
7. Filipina – No. 57 dunia
8. Korea Selatan – No. 58 dunia
9. Malaysia – No. 64 dunia
10. China – No. 68 dunia
Taiwan rampas takhta Singapura
Tahun ini, Taiwan muncul sebagai negara paling bahagia di Asia apabila menduduki tangga ke-27 dunia. Kedudukan itu sekaligus merampas takhta Singapura yang sebelum ini berada di tempat pertama Asia selama dua tahun berturut-turut.
Singapura jatuh ke tangga ke-34 dunia, sementara Kazakhstan melonjak ke tempat ketiga paling bahagia di Asia. Vietnam juga mencatat peningkatan dengan berada di kedudukan ke-46 dunia, mendahului Thailand, Jepun dan negara Asia Tenggara lain.
Malaysia di mana? Malaysia berjaya menempatkan diri di tangga ke-64 dunia dan berada di tempat kesembilan Asia.